Golongan Batiniah
Golongan ini mencampur-adukkan antara kebatinan dan tasauf sebagai satu helah untuk meyakinkan orang lain akan kebenaran mereka. Berlakunya pelbagai keajaiban pada mereka adalah amalan yang berupa pertolongan khadam kerohanian bukannya disebabkan keimanan dan mujahadah mereka. Mereka masih dilembah hawa nafsu keduniaan yang rendah, mereka mencintai hal-hal kelebihan seperti mencari harta karun, bersahabat dengan orang ghaib, menyeru roh pahlawan untuk menghasilkan silat ghaib, pengembaraan roh, tenggelam dalam ilmu perubtan dan kedukunan. Mereka berwirid ratusan ribu untuk mendapat perkara yang dihajati sedangkan hajat mereka adalah berbentuk keduniaan yang amat jauh sekali dengan matlamat ahli sufi yang sejati.
Saya tidak mengatakan semua aliran kebatinan itu sesat tetapi ianya tidak patut dikaitkan dengan tasauf. Kebanyakan guru yang memimpin mereka tidak sempurna perjalanan syariatnya, tariqahnya, hakikatnya dan makrifatnya. Ramai dikalangan mereka yang mendakwa didatangi para aulia seperti Syekh Abdul Qadir Jailani , wali sembilan dsb. Sesungguhnya setiap yang ghaib ada nyatanya, begitu juga setiap dakwaan ada suluhannya.
Nabi SAW bersabda, “ Jika kamu berkawan dengan penjual minyak wangi,nescaya baunya akan terkena bajumu, jika kamu berkawan dengan tukang besi,nescaya kepanasan besi akan memercik pada bajumu”
Berpandukan hadis ini, jika benar bahawa mereka bersahabat dengan wali Allah, nescaya mereka akan menjadi wali atau orang yang soleh, teguh berpegang pada syariat, kuat amalannya, sentiasa bermujahadah, sentiasa menangis takutkan Tuhan, mempunyai akhlak yang indah, zuhud dengan dunia dan sebagainya kerana terkena limpahan kerohanian orang yang didakwa wali Allah itu.
Pada setiap wali Allah ada limpahan dan barakah. Dengan melihat atau mendengar ceritanya sudah boleh mendatangkan perasaan ingin bertaubat kepada seseorang, sehingga dia menjadi manusia yang mencintai akhirat dan menjauhi dunia. Apatah lagi kalau bersahabat dengannya itu tidak lagi disaluti dunia dan kesombongan.
Saya tidak menolak atau membenarkan dakwaan mereka, namun dihati kecil saya berkata , alangkah kecilnya peranan Syeikh Abdul Qadir Jailani kini,. Dari seorang ulama dan wali besar, yang mendidik manusia kepada keimanan sehingga zamannya dipanggil zaman hidupnya agama, selepas meninggal hanya berperanan mengajar silat dan perubatan. Malah ada sesetengahnya mengajak Syeikh yang mulia ini mencari harta karun. Sepatutnya sebagai seorang syeikh , peranannya yang utama ialah mendapingi ulama-ulama untuk menasihati mereka memimpin manusia kearah usaha menguatkan agama. Wallahu alam, saya serahkan kepada Allah swt akan kebenaran dakwaan mereka.